1 Ogos wajib pakai mask di tempat awam, denda RM1,000 jika ingkar


Bermula 1 Ogos ini, rakyat diwajibkan memakai pelitup muka di tempat awam dan di dalam pengangkutan awam.

Menteri Kanan (Kluster Keselamatan) Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob berkata, mana-mana individu yang didapati tidak mematuhi peraturan baharu itu boleh dikompaun RM1,000 di bawah Akta 342 (Akta Pencegahan dan Pengawalan Penyakit Berjangkit 1988). 

Beliau berkata, keputusan itu dibuat semasa Mesyuarat Khas Menteri-Menteri Mengenai Perintah Kawalan Pergerakan (PKP), setelah mengambil kira peningkatan kluster-klusteru baharu yang telah dikenal pasti, selain di atas nasihat pihak Kementerian Kesihatan Malaysia. 

Dalam pada itu juga, Ismail Sabri menasihatkan rakyat mengambil inisiatif membuat kawalan kendiri dan sentiasa memakai pelitup muka apabila berada di tempat awam dan memastikan jarak sosial dipatuhi. 

"Sementara (sebelum 1 Ogos), jaga keselamatan diri dulu. Ramai akan balik kampung sambut raya Haji minggu depan, saya harap patuhi setiap SOP yang ditetapkan," katanya. 

Sumber: Bernama