“Abang tolong masukkan duit ni dalam tabung masjid.”


Sedekah, satu amalan yang tidak perlu dipertikaikan lagi kebesarannya. Oleh kerana itu, tanpa mengira bangsa dan negara, ramai yang berpusu-pusu melakukan amal kebaikan itu.

Satu perkongsian yang menarik dikongsikan lelaki ini apabila berdepan dengan seorang warga asing. Pada mulanya dia ditahan di sebuah pintu masuk sebuah kedai. Sangkaannya warga asing itu ingin melakukan sesuatu, tetapi telahannya salah. Sebaliknya lelaki warga asing itu mengeluarkan sejumlah wang dan diberikan kepada lelaki ini untuk disedekahkan kepada masjid dan pelajar.

S E D E K A H – Warga asing

Tadi saya pergi Mr D.I.Y nak beli barang sikit. Sampai dekat pintu macam biasalah, kena periksa suhu, tulis nama dan nombor telefon. Selepas selesai tulis, saya pun nak masuk ke dalam kedai, bila nak masuk, penjaga (Bangla) itu menahan saya (cegat saya guna tangan).

Saya pun pandang senget kat muka dia dan standby untuk lepaskan tumbukan padu lagi berbisa. Hehe. Saya cakap dalam hati, Boleh tahan dia ni tahan aku.

Dia tanya saya, “You student?”. Sebab saya pakai jubah dan berbadan kecil sahaja. Saya tercengang sekejap dengan soalannya.

Selepas itu dia tanya lagi, “You Teacher?”

Saya cakap dalam hati, dia nak apa sebenarnya ni.

Dia tanya lagi, “You orang masjid?”

Dalam fikiran saya kata mungkin dia nak bagi diskaun kot. Adoii. Saya pun angguk kepala. Lepas tu dia buka dompet dan bagi saya duit RM5. Lagi tambah aku pelik.

“Abang tolong masukkan duit ni dalam tabung masjid.”

Terus saya menangis. Kemudian dia bagi saya RM3.

“Abang tolong bagi RM3 ni pada student ye.”

Lagi berkecai hati saya. Seolah aku yang kena tumbuk. Lepas tu saya masuk kedai beli barang, bayar dan balik. Dalam perjalanan, puas fikir kenapa dia tak bagi sendiri? Kenapa dia tak sedekah sendiri? 

Ooohhh. Baru saya faham.Masjid-masjid tidak membenarkan warga asing untuk solat berjemaah dan solat jumaat. Hanya warga tempatan sahaja. Masya Allah.

Begitu semangat dan tergambar pada wajahnya merindui untuk sedekah di rumah Allah dan para penuntut ilmu. Walau sedikit. Tak boleh menyampaikan sedekah, namun berusaha untuk mencari jalan supaya hartanya sampai kerumah Allah dan penuntut ilmu.

Aku menjadi saksi dengan kebaikanmu dimuka bumi.
Allah Allah. Sungguh kejadian ini bukan satu kebetulan.

Semua telah disusun dan dirancang oleh Allah untuk memberi pengajaran pada kita yang suka menangguh untuk bersedekah dan sayang pada harta. Terima kasih Ya ALLAH kerana mendidik ku untuk bersedekah melalui hamba-Mu yang mulia hatinya.