Alowonle mengaku tidak bersalah bunuh Siti Kharina di Kondominium Cyberjaya


Lelaki warga Nigeria berusia 37 tahun mengaku tidak bersalah di atas pertuduhan membunuh Ketua Jururawat Hospital Serdang pada Mei 2019. 

Alowonle Oluwajuwon Gilbert, membuat pengakuan itu di hadapan Hakim Datuk Ab Karim Ab Rahman, selepas pertuduhan dibacakan terhadapnya di Mahkamah Tinggi Shah Alam. 

Alowonle dituduh membunuh Siti Kharina di satu unit Kondominium Third Avenue, Cyberjaya kira-kira jam 12.41 pagi pada 9 Mei 2019 hingga 2.30 petang, 15 Mei tahun sama, mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan.

Pendakwaan dikendalikan oleh Timbalan Pendakwa Raya, Ahmad Nazneen Zulkifli, manakala tertuduh diwakili peguam Datuk Hazizah Kassim. 

Mahkamah menetapkan tarikh sebutan semula kes pada 13 Ogos ini dan prosiding perbicaraan pada September depan. 

16 Mei lalu, mayat Siti Kharina ditemui dalam kondominium tersebut selepas orang awam melihat darah mengalir keluar dari unit tersebut. 

Mayat mangsa ditemui dalam keadaan terbaring dan tidak berpakaian lengkap selain terdapat kesan kelar di dada, leher serta kepala mangsa. 

Polis percaya mangssa telah dibunuh dalam tempoh empat hingga lima hari berdasarkan keadaan fizikalnya. 

Sumber: Bernama