Anak main basikal lajak, ibu bapa boleh didenda RM1,000, penjara 12 bulan


Ibu bapa atau penjaga remaja bawah umur boleh dikenakan hukuman denda RM1,000 atau penjara maksimum setahun jika anak di bawah jagaan mereka disabit dengan kesalahan menunggang basikal lajak. 

Menteri Pengangkutan, Datuk Seri Dr. Wee Ka Siong berkata, sebelum ini denda yang dikenakan bagi kesalahan itu adalah RM300 sahaja dan kini telah dipinda bagi memberi pengajaran kepada semua pihak. 

Pindaan itu terkandung dalam Rang Undang-Undang (RUU) Pengangkutan Jalan (Pindaan) 2020 yang dibaca kali pertama di Dewan Rakyat hari ini. 

"Kalau dulu denda RM300 sahaja, orang tak takut. Jika pesalahnya di bawah usia 18 tahun, maka ibu bapa dan penjaga boleh dihukum. 

"Sekarang kita pinda dan perketatkan sebagai pengajaran kepada semua pihak termasuk penunggang basikal lajak yang juga merupakan pengguna kenderaan mikromobiliti bersama basikal elektrik. 

"Tujuan kita bukan untuk menghukum tetapi lebih kepada ingin memberi pengajaran dan diharap perkara ini dipandang serius semua pihak," katanya di Parlimen hari ini. 

Tambahnya, pindaan itu dilakukan bagi membuktikan komitmen kerajaan dalam memastikan jalan raya selamat untuk semua pihak. 

Sumber: Sinar Harian