'Apa dosa anak kucing tu sampai dibakar?!'


Viral di media sosial sejak beberapa hari lalu video seekor anak kucing dibakar sehingga mati, mengundang kemarahan ramai netizen khususnya pencinta haiwan. 

Persatuan Haiwan Malaysia (Malaysia Animal Association) meminta mana-mana individu yang mempunyai maklumat mengenai kejadian itu untuk tampil membantu siasatan dan akan diberi wang ganjaran sebanyak RM10,000. 

Justeru, Persatuan Haiwan Malaysia merayu kepada orang ramai yang mempunyai maklumat lengkap tampil menghubungi mereka di talian 011-20901097.

"Animal Malaysia merayu supaya bekalkan maklumat lengkap dengan laporan polis sehingga pelaku ini berjaya ditangkap, didakwa di mahkamah dan dijatuhi hukuman maksimum atas kezaliman membunuh anak kucing tidak berdosa ini jika benar kejadian ini berlaku dalam negara dan pelakunya berada di Malaysia."

Sementara itu, netizen mengutuk sekeras-kerasnya tindakan individu tersebut.