BSH fasa ketiga dibayar mulai Jumaat ini


Kementerian Kewangan memaklumkan pembayaran Bantuan Sara Hidup (BSH) 2020 fasa ketiga akan dilaksanakan bermula Jumaat ini. 

Pembayaran itu dibuat berdasarkan kategori merangkumi bilangan anak tanggungan dan baki nilai BSH 2020 yang akan diterima, yang membabitkan peruntukan berjumlah RM3 bilion yang memanfaatkan hampir 4.38 juta penerima. 

Penerimanya merangkumi 3.75 juta isi rumah dan 0.53 juta individu berusia antara 40 hingga 59 tahun. 

Kadar BSH yang akan diterima juga mengambil kira 3.8 juta anak penerima BSH berusia 18 tahun ke bawah. 

"Penerima kategori isi rumah akan menerima tambahan bantuan RM120 bagi setiap anak berusia 18 tahun dengan maksimum empat orang anak. 

"Sebagai contoh, sekiranya Encik Ali berpendapatan di bawah RM2,000 dan mempunyai empat anak yang layak, beliau akan menerima RM1,580 merangkumi pembayaran sebanyak RM300 pada fasa pertama (Januari), RM200 pada fasa kedua (Mac) dan RM1,080 pada fasa ketiga (Julai).

"Bayaran BSH ini adalah lebih bersasar kerana turut mengambil kira bilangan anak yang layak dalam setiap keluarga," katanya. 

Pembayaran akan dikreditkan terus ke akaun bank masing-masing yang didaftarkan dengan Lembaga Hasil Dalam Negeri (LHDN). 

Bagi permohonan baharu BSH yang layak tetapi belum menerima bayaran pada fasa pertama dan kedua pula akan dibayar secara sekali gus dalam pembayaran fasa ketiga mengikut nilai kelayakan. 

Dalam pada itu, permohonan rayuan BSH 2020 akan dibuka mulai 7 Ogos sehingga 6 September depan. 

Sebahagian daripada mereka yang ditolak permohonannya masih diberi ruang untuk mengemukakan rayuan berserta dokumen yang berkaitan untuk disemak semula oleh LHDN. 

Permohonan boleh dibuat secara dalam talian di portal BSH https://bsh.hasil.gov.my atau pemohon boleh hadir di cawangan LHDN, Pusat Khidmat Hasil (PKH) dan Pusat Transformasi Bandar (UTC).

Sumber: Harian Metro