Gara-gara ikan masin, suami belasah isteri


Hanya kerana tidak sabar menunggu ikan masin dimasak, seorang lelaki berusia 23 tahun tergamak memukul isterinya.

Kejadian itu berlaku pada 18 Julai lalu di Cengkareng, Jakarta Barat.

Ketua Polis Daerah Cengkareng, H. Khoiri berkata, suspek, Ryan Jaya, 23, gagal mengawal dirinya yang panas baran bertindak memukul isterinya, Fitriah Kosasih, 36, hanya kerana hal yang remeh. 

"Suaminya panas baran dan suka marah-marah hal yang remeh temeh. Ketika kejadian, suspek meminta mangsa masak ikan masin. 

"Mangsa akur dan menggoreng ikan masin, namun suspek yang tidak mempunyai kesabaran, terus memukul isterinya," katanya. 

Sebelum itu, pasangan suami isteri itu sempat bertengkar dan tidak lama selepas itu Ryan mula memukul isterinya. 

Fitriah dihentak ke almari, kemudian dicakar dan rambutnya ditarik mengakibatkan mangsa mengalami luka dan lebam di bahagian muka. Selain itu, perut mangsa juga terasa sakit akibat dipukul. 

Bimbang dengan keselamatan diri, Fitriah kemudian membuat laporan polis dan bertindak di atas laporan itu, polis menahan Ryan untuk membantu siasatan. 

Ryan kini ditahan reman dan disiasat atas akta keganasan rumah tangga.