'Kalau nak mabuk, jangan bawa kenderaan' - Menteri Pengangkutan


"Pesanan saya, kalau nak mabuk, jangan bawa (kenderaan). Kalau nak bawa (kenderaan, jangan minum (arak)," demikian kata Menteri Pengangkutan, Datuk Seri Dr Wee Ka Siong.

Dalam laporan Harian Metro 15 Julai 2020, beliau memberikan gambaran di mana pemandu yang didapati memandu di bawah pengaruh alkohol dan khayal (dadah) serta memandu secara melulu akan dikenakan hukuman berat. Antara hukuman yang dicadangkan adalah penggantungan lesen memandu sehingga 20 tahun. 

Hukuman yang dicadangkan dalam pindaan Akta Pengangkutan Jalan 1987 lebih tegas dan diasingkan mengikut kesalahan sama ada memandu di bawah pengaruh alkohol, dadah mahupun secara melulu. Pindaan yang membabitkan Seksyen 41 hingga 45, dengan hukuman penjara dicadangkan sebagai mandatori. 

"Seksyen 44 kalau sekarang kesalahan memandu mabuk dan dadah, tiada perbezaan. Tapi kita cadangkan supaya dibezakan hukumannya dan ia lebih berat lagi jika bawa maut. 

"Kadar penjara maksimum yang sebelum ini 10 tahun akan ditingkatkan ke 15 tahun untuk kesalahan pertama dan 20 tahun jika kesalahan berulang. 

"Kadar denda juga dinaikkan daripada RM20,000 kepada RM100,000 untuk kesalahan pertama dan kali kedua pula adalah RM150,000. 

"Bagi tempoh gantung lesen juga dicadangkan dinaikkan daripada 10 tahun kepada 20 tahun," katanya. 

Difahamkan, draf Undang-Undang pindaan itu akan dibentangkan keapda Jemaah Menteri pada 17 Julai ini sebelum dibawa ke Dewan Rakyat. Pindaan itu telah dibawa ke Pejabat Peguam Negara dan pengumuman mengenainya akan dibuat dalam masa terdekat. 

Sumber: Harian Metro