Makcik 'gelang pink' disahkan positif


Gambar wanita yang memakai gelang merah jambu atau gelang Pesakit di bawah Pengawasan (PSU) sedang menikmati makanan di sebuah restoran di Meru Raya baru-baru ini menimbulkan kebimbangan orang ramai. 

Difahamkan, wanita berusia 72 tahun itu tiba di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala lumpur (KLIA) pada 4 Julai lalu dan diarahkan menjalani kuarantin selama 14 hari. 

Menurut sumber, saringan pertama yang dijalankan mendapati warga emas itu negatif tetapi dipakaikan gelang tersbeut dan diperintahkan untuk menjalani kuarantin. 

Gambar viral itu pula dikatakan berlaku pada 6 Julai lalu di mana warga emas berkenaan bersama dengan keluarganya singgah di restoran itu untuk bersarapan setelah tiba dari Selangor, sebelum menjalani kuarantin di rumah. 

Selepas 13 hari kemudian, saringan kedua dilakukan dan mendapati warga emas itu positif dan telah dimasukkan ke hospital sejak 17 Julai lalu. Wanita itu kini masih dalam rawatan di Hospital Raja Permaisuri Bainun, bersama dengan anak lelakinya yang juga didapati positif. 

Pihak Kesihatan memaklumkan, kandungan virus dari warga emas itu adalah kurang dan risiko menjangkiti juga kurang. 

Ketua Polis Daerah Ipoh, Asisten Komisioner A Asmadi Abdul Aziz mengesahkan perkata itu dan siasatan telah dijalankan oleh Kementerian Kesihatan Malaysia. 

Dalam pada itu, Exco Kesihatan Perak, Ahmad Saidi Mohamad Daud berkata, kerajaan negeri memandang serius isu berkaitan pelanggaran SOP oleh wanita itu. Beliau menasihatkan orang awam agar sentiasa mematuhi SOP memandangkan Perintah Kawalan Pergerakan Pemulihan (PKPP) masih dilaksanakan dan kes wabak berkenaan juga semakin bertambah. 

Sumber: Sinar Harian