Murid tahun 2 disahkan positif


Seorang murid tahun dua di sebuah sekolah di Inanam, Kota Kinbalu, Sabah disahkan positif Covid-19. 

Menurut Pengarah Jabatan Kesihatan Negeri Sabah (JKNS), Datuk Christina Rundi berkata, murid berkenaan dikesan dijangkiti virus berbahaya itu selepas mendapatkan rawatan di sebuah klinik kesihatan. 

Ekoran itu, seramai 37 rakan sekelas murid itu, bersama dengan ibu bapa dan lapan guru yang dikenal pasti sebagai kontak rapat diarahkan menjalani kuarantin selama 14 hari. 

Selain itu, ibu bapa juga diingatkan untuk tidak menghantar anak-anak mereka yang mempunyai gejala demam, batuk dan selesema ke sekolah.

Sementara itu, Ketua Pengarah Kesihatan, Datuk Dr Noor Hisham Abdullah berkata, meskipun kes itu melibatkan murid sekolah, namun jangkitan itu didapati berlaku di luar sekolah. 

"Kes ini memang membabitkan murid sekolah tetapi jangkitan bukan berlaku di sekolah," katanya yang juga memaklumkan kawasan sekolah masih selamat untuk murid dan pelajar. 

Jelas Noor Hisham, pihak Kementerian Kesihatan Malaysia dan Kementerian Pendidikan Malaysia sentiasa memantau kepatuhan SOP di sekolah. 

"Sekolah juga satu risiko tetapi kita boleh uruskan. Kalau ada kes di sekolah, memang kita saran tutup sekolah terbabit. 

"Sampai bila kita tidak boleh membenarkan sekolah beroperasi. Tetapi dari 10 Jun sehingga hari ini, tiada kes dikesan di sekolah. Jadi, sekolah masih kawasan yang selamat. 

"Isu sekarang di luar sekolah dan perbincangan kami supaya pelajar dilepaskan pulang secara berperingkat dan tiada yang berkumpul bagi mengurangkan kesesakan," katanya.