'Orang camni la yang tingkatkan risiko Malaysia hadapi gelombang kedua Covid-19'


Viral di media sosial baru-baru ini gambar seorang wanita yang masih memakai tag merah jambu, sepatutnya menjalani kuarantin di rumah, tetapi keluar ke tempat awam di Perak, mencetuskan kebimbangan netizen. 

Menurut maklumat, gambar wanita itu dirakam di sebuah kafe di Bandar Meru Jaya, Ipoh, Perak yang jelas sekali menunjukkan gelang tangan yang dipakai oleh individu yang menjalani kuarantin Covid-19. 

Ekoran gambar viral itu, pemilik kafe Hanaz Cafe, Nurul Chu Hada Karim, tampil memberi penjelasan dan sekali gus menafikan dakwaan kononnya pihaknya gagal beroperasi mengikut Prosedur Operasi Standard (SOP). 

"Jangan kata kami pihak peniaga tak ambil tindakan. Kami ikut SOP, ambil suhu ikut yang disarankan. 

"Kak Nurul sendiri awal pagi dah hubungi Jabatan Kesihatan Negeri Perak dan bercakap sendiri mengenai isu ini. Kak Nurul disarankan bertenang. 

"Katanya dua orang yang positif dah dimasukkan ke Hospital Raja Permaisuri Bainun, bukan yang viral (wanita dalam gambar viral). 

"Hanaz Cafe bebas dari Covid ye. Kami tiada arahan penutupan kerana pegawai sendiri sahkan makcik gelang pink negatif daripada Covid-19," katanya. 

Sementara itu, Jabatan Kesihatan Perak kini sedang mengesan wanita berkenaan kerana dipercayai melanggar arahan pemantauan di rumah (HSO). 

Menurut Pengarah Kesihatan Perak, Dr Ding Lay Ming berkata, jika didapati berasas, tindakan sewajarnya termasuk tindakan undang-undang akan diambil.

Mengikut peraturan, seseorang yang menjalani HSO wajib berada dalam rumah selama 14 hari dan menjalani ujian Covid-19 kedua pada hari ke-13. 

Sumber: Bernama, MalaysiaKini