Pakcik 'gelang pink' dikompaun, restoran majikan ditutup kerana langgar SOP


Selepas viral gambar makcik gelang pink, viral pula gambar pakcik gelang pink yang dilihat selamba bekerja di sebuah restoran di Jalan Sungai Udang, Klang. 

Menurut Muhammad Hafiz yang merakam gambar itu berkata, lelaki itu merupakan pekerja restoran tersebut. 

"Saya dah tegur, 'You pakai tag pink, kenapa you kerja lagi?'. Dia boleh senyum-senyum pula. So kalian hati-hati ye, done report," tulisnya. 

Ketua Polis Daerah Klang Selatan, Asisten Komisioner Shamsul Amar Ramli berkata, pihaknya menerima panggilan dari orang awam yang membuat aduan mengenai pekerja restoran itu pada jam 10.15 pagi tadi.

"Pada 10.20 pagi, polis tiba di lokasi yang dimaklumkan bersama penguatkuasa Majlis Perbandaran Klang (MPK), bagaimanapun suspek tiada di lokasi. 

"Pemilik restoran memaklumkan suspek ke klinik kesihatan untuk pemeriksaan lanjut dengan menaiki kenderaan yang dibawa oleh kawannya yang bekerja di restoran itu," katanya. 

Difahamkan, suspek menjalani kuarantin di rumah dari 9 Julai lalu hingga 23 Julai selepas tiba di KLIA dari India. 

Berdasarkan maklumat terkini, lelaki berusia 55 tahun yang berasal dari Setapak itu menjalani ujian saringan buat kali kedua di klinik kesihatan dan disahkan negatif. 

Walaupun keputusannya negatif, suspek tidak sepatutnya berada di tempat awam memandangkan dia masih dalam status kuarantin sebelum pergi ke klinik tersebut. 

Polis akan mengambil tindakan kompaun terhadap suspek dan restoran yang membenarkan suspek masuk juga akan diarahkan tutup serta-merta.