Pavithra enggan terbabit dalam YouTube, tapi Sugu kata akan aktif semula petang ini

FOTO - BERNAMA

Sabtu lalu, semua video di saluran YouTuber Sugu Pavithra dibuang sehingga menimbulkan tanda tanya di kalangan pengikutnya yang berjumlah hampir 800,000. 

Terdahulu, S. Pavithra dan suaminya, M. Sugu menjadi bahan bualan ramai susulan penahanan Sugu yang didakwa memukul Pavithra di perkarangan sebuah hospital di Ipoh, Perak, kerana Sugu tidak berpuas hati namanya tidak disebut dalam pengiktirafan yang diterima oleh isterinya. 

Dalam kenyataan Ahad, Pavithra tampil memberikan penjelasan bahawa keputusan itu dibuat kerana dia tidak mahu mempunyai kaitan dengan laman media sosial. 

Tambahnya, mereka tidak mahu lagi terbabit dengan sebarang perkara yang boleh meraih perhatian umum. 

"Kami tidak mahu lagi ada kena mengena dengan YouTube. Ramai lagi YouTuber masakan yang lagi hebat dan bagus, kami hanya mahu memberi tumpuan kepada keluarga. 

"Selepas ini kami tidak mahu jadi orang dikenali ramai. Semua itu kami tak nak. Kami orang biasa saja, jadi biarkan kami hidup seperti biasa," katanya. 

Sementara itu, Sugu hari ini memaklumkan mereka akan muncul kembali di YouTube selewat-lewatnya petang ini jika segala perbincangan dengan beberapa pihak selesai. 

Sugu turut mengakui mereka hilang pendapatan daripada YouTube selepas membuang semua video berkenaan. 

"Tapi tak mengapa, kerana saya ada tangan, kaki cukup boleh cari kerja. Sebelum ini pun punca pendapatan dengan bekerja," katanya.