Pekerja dipaksa makan makanan pedas kerana gagal capai sasaran kerja & dipecat selepas dimasukkan ke hospital


Seorang pekerja wanita dipecat majikannya atas alasan tidak mematuhi budaya korporat syarikat itu. 

Wanita itu merupakan salah seorang daripada tujuh pekerja yang dipaksa makan makanan pedas, 'Deathly Spicy Sticks' sebagai hukuman kerana gagal mencapai sasaran kerja yang telah ditetapkan.

Selepas makan makanan pedas itu, dua daripadanya dimasukkan ke hospital. Mangsa berkata, dia mengalami sakit perut yang luar biasa sehingga pengsan dan terpaksa dipapah keluar dari pejabat. Lebih teruk lagi, ketika itu dia baru saja mula haid. 

Menurut doktor, wanita itu mengalami kekejangan dan gastroenteritis akut. 

Selepas kejadian itu, pihak syarikat enggan memberi sebarang pampasan dan hanya menawarkan diri untuk menanggung segala kos perubatannya mangsa. 

Apabila mangsa kembali bertugas semula, dia dimaklumkan bahawa dia telah dipecat atas alasan tidak mampu mengikut budaya korporat syarikat itu.

Kes seperti ini sudah kerap berlaku di China di mana pihak majikan selalu menghukum kakitangannya yang gagal mencapai sasaran kerja dengan hukuman pelik. 

Tahun lalu, sebuah syarikat di Guizhou, China memaksa kakitangannya yang gagal mencapai sasaran kerja, makan ikan lumpur (mentah) dan minum darah ayam.