Remaja didakwa buat hubungan seks dengan 2 anak saudara


Seorang remaja lelaki berusia 16 tahun didakwa di Mahkamah Majistret Bachok, Kelantan atas dua pertuduhan melakukan hubungan seks dengan dua anak saudara perempuan berusia empat dan tujuh tahun. 

Tertuduh yang menetap di Pasir Puteh didakwa melakukan perbuatan terkutuk itu pada bulan Januari hingga 23 Jun lalu di sebuah rumah di Kampung Jeram B, Pasir Puteh. 

Bagaimanapun, remaja itu mengaku tidak bersalah di hadapan Majistret Mohd Dinie Shazwan Abd Shukor. 

Berdasarkan pertuduhan pertama, tertuduh didakwa melakukan hubungan seks dengan anak saudaranya berusia tujuh tahun dengan memasukkan jari ke dalam kemaluan mangsa tanpa kebenaran. 

Pertuduhan kedua pula, tertuduh melakukan kesalahan yang sama terhadap anak saudaranya yang berusia empat tahun. 

Remaja itu didakwa mengikut Seksyen 377 (CA) Kanun Keseksaan di mana mana-mana orang yang melakukan perhubungan seks dengan seseorang lain dengan memasukkan apa-apa objek atau mana-mana bahagian badan, kecuali zakar ke dalam vagina atau dubur seseorang lain tanpa kebenaran orang lain itu hendaklah dihukum dengan penjara tidak kurang lima tahun dan tidak lebih 30 tahun serta sebatan. 

Pendakwaan dikendalikan oleh Timbalan Pendakwa Raya, Gayathri Sambath dan tertuduh pula diwakili oleh peguam bela Mohd Norasmawi Norani. 

Mahkamah membenarkan tertuduh diikat jamin sebanyak RM5,000 dengan seorang penjamin dan menetapkan 27 Ogos depan untuk sebutan semula kes. 

Sumber: MalaysiaKini