Remaja lumpuh tangan kiri selepas bermain game 22 jam setiap hari


Seorang remaja lelaki berusia 15 tahun di Nanning, China dikejarkan ke hospital selepas pengsan secara tiba-tiba di kediamannya. 

Pemeriksaan mendapati, Xiaobin tidak dapat menggerakkan tangan kirinya. 

Difahamkan, semenjak pelaksanaan perintah berkurung ekoran wabak Covid-19, Xiaobin banyak menghabiskan masa di dalam bilik bermain permainan video selama 22 jam setiap hari dalam tempoh sebulan. 

Lapor Nanning Television, aktiviti Xiaobin itu tidak disedari oleh ibu bapanya. Sebelum ini, pasangan itu pernah bertanya apa yang dilakukannya di dalam bilik, Xiaobin hanya sekadar menjawab dia sedang mengikuti kelas online. 

"Dia tutup tingkap dan kunci pintu. Kami tak tahu apa yang dia buat di dalam bilik," kata ibu bapa Xiaobin. 

"Saya ada terbaca perbualannya bersama rakan-rakan di media sosial. Dia kata dia tidak mendapat rehat yang secukupnya dan hanya tidur dua jam sehari," katanya. 

Xiaobin kini masih menjalani rawatan di hospital tetapi tidak diketahui sama ada tangannya akan pulih seperti sediakala atau sebeliknya. 




Dr Li, pakar otak di hospital berkenaan berkata, Xiaobin mengalami cerebral stroke disebabkan ketagihannya bermain permainan video terlalu lama sehingga tidak mendapat tidur yang secukupnya. 

Strok itu berlaku akibat kekurangan nutrisi dan rehat, yang membawa kepada kekurangan darah dan oksigen mengalir ke otak pesakit. 

Tidak salah untuk bermain permainan video tetapi haruslah diingatkan untuk tidak bermain terlalu lama sehingga menjejaskan kesihatan diri dan reputasi di sekolah atau tempat kerja.