Suami pukul & tekan perut isteri hamil dengan lutut


Isteri sepatutnya dilindungi tetapi berbeza dengan kes di Bandar Country Homes Rawang di mana seorang lelaki tergamak memukul isterinya yang sedang mengandung 29 minggu. 

Dalam kejadian yang berlaku pada jam 11 pagi kelmarin, mangsa yang berusia 29 tahun, berselisih dengan suaminya berusia 26 tahun mengenai keluarga. 

Ketua Polis Daerah Gombak, Asisten Komisioner Arifai Tarawe berkata, suspek yang bekerja sebagai penjaga stor gagal mengawal kemarahan lalu menumbuk kepala mangsa yang sedang duduk di atas katil sehingga terbaring. 

Tidak cukup dengan itu, lelaki itu turut menekan perut isterinya dengan menggunakan lutut. 

Bimbang dengan keselamatan diri dan kandungannya, mangsa pergi mendapatkan rawatan di Hospital Selayang sebelum tampil membuat laporan polis terhadap suaminya. 

Bertindak di atas laporan polis itu, suspek ditahan sepasukan polis pada jam 12.30 tengah hari tadi dan direman mengikut Seksyen 18A Akta Keganasan Rumah Tangga, untuk membantu siasatan. 

Sumber: Harian Metro