'Terdengar dentuman di bumbung' - Remaja campak bayi baru lahir dari tingkat 2


Seorang bayi lelaki yang baru saja dilahirkan, dicampak oleh ibunya dari tingkat dua dan terhempas di bumbung sebuah rumah teres.

Dalam kejadian yang berlaku pada jam 12.35 tengah hari Sabtu lalu di Taman Seri Dermawan, Bercham, Ipoh, mangsa ditemui oleh orang awam yang kemudian menghubungi pihak polis. 

Ketua Polis Daerah Ipoh, Komisioner A Asmadi Abdul Aziz berkata, mangsa dicampak oleh remaja perempuan berusia 16 tahun dari tingkap biliknya yang terletak di tingkat dua dengan ketinggian lebih kurang sembilan meter. 

Menurut saksi yang juga jiran remaja itu berkata, dia terdahulu terdengar bunyi kuat seperti objek terhempas di bahagian bumbung rumahnya lalu menjenguk keluar dari tingkap dan ternampak bayi berkenaan. 

Polis kemudian datang memeriksa dan menemui kesan tompokan darah di jeriji tingkap serta cadar biliknya. Suspek dipercayai melahirkan bayi itu di tandas dan mengunting tali pusat itu sendiri.

Mangsa kini berada dalam keadaan kritikal akibat kecederaan di bahagian kepala dan dirawat di Unit Rawatan Rapi Neonatal, Hospital Raja Permaisuri Bainun Ipoh. 

Suspek juga dibawa ke hospital yang sama untuk diberi rawatan lanjut dan akan diambil keterangannya apabila keadaannya sudah stabil. 

Sementara itu, ibu dan dua adik suspek langsung tidak mengetahui suspek hamil, malah suspek tidak pernah menunjukkan tanda-tanda mahu melahirkan anak. Sebaliknya suspek hanya memberitahu dia baru sahaja datang haid. 

"Ibu suspek tidak tahu anaknya mengandung namun sedar badan suspek sedikit berisi. Ibu suspek tiada di rumah semasa kejadian kerana ke pasar, manakala bapanya bekerja membawa lori," katanya. 

Difahamkan keluarga itu baru sahaja berpindah ke Ipoh dari Rawang, lebih kurang sebulan lalu. 

Suspek pada awalnya enggan mengaku bahawa bayi itu adalah anaknya. Tetapi selepas didesak, dia akhirnya mengakui bahawa bayi itu adalah hasil dari hubungannya bersama dengan teman lelakinya yang tinggal di Rawang. Suspek juga enggan bercakap apa-apa dan banyak menangis. 

Suspek masih ditahan di wad kerana mengalami pendarahan dan uri masih berada di dalam perut. 

Sumber: Harian Metro