(Video) 'Alahai, malunya...' Penunggang motosikal terciduk ketika cuba balas dendam


Seorang penunggang motosikal di Puchong terjatuh ketika dia cuba menendang sebuah kereta yang menukar lorong secara tiba-tiba dan menghalang laluannya. 

Insiden itu berlaku pada 25 Julai kira-kira jam 9.15 pagi berdasarkan video dashcam yang tersebar di media sosial. 

Video itu pada awalnya menunjukkan penunggang motosikal terbabit menunggang di bahagian tengah antara dua lorong dalam kelajuan yang agak tinggi. 

Secara tiba-tiba sebuah kereta Proton Saga yang berada di lorong kanan masuk ke lorong kiri, menyebabkan laluan penunggang motosikal berkenaan terhalang. 

Penunggang motosikal itu tidak mempunyai pilihan lain lalu memperlahankan motosikalnya dan menghampiri kereta tersebut di bahagian kiri pemandu sebelum menendangnya. 


Bagaimanapun, tindakannya itu gagal dan menyebabkan dia hilang kawalan lalu terjatuh dari motosikal serta terseret di jalan raya. 

Menurut pemilik video, penunggang motosikal itu selamat dan mampu berdiri selepas kejadian tersebut. 

"Tak tau siapa yang salah, biar polis siasat," katanya.