(Video) 'Dah elok ikut belakang lori...' - Panik kemalangan, Alza rempuh tembok 2 kali


Sikap sabar adalah penting lebih-lebih ketika anda sedang memandu di jalan raya. Jika tiada kesabaran, banyak kesan dan akibatnya yang boleh berlaku seperti dalam kes yang berlaku baru-baru ini. 

Viral di media sosial hari ini video dashcam (saksi) yang menunjukkan sebuah kenderaan jenis 'MPV' mengalami kemalangan di Persiaran Perusahaan Shah Alam berhadapan Nitto Denko. 

Berdasarkan video berdurasi satu minit itu, kereta Perodua Alza berkenaan dilihat memandu di belakang sebuah lori pembancuh simen atau 'lori siput' di lorong tengah. 

Apabila tiba di persimpangan lampu isyarat yang tidak berfungsi, Alza itu masuk ke lorong kanan untuk meneruskan perjalanan tanpa menyedari lori tersebut mahu membelok ke kanan. 

Akibatnya, kenderaan MPV itu bergesel dengan lori tersebut dan menyebabkan pemandu Alza hilang kawalan lalu membuat pusingan 'U' ke kiri dan menghentam tiang lampu isyarat sebelum merempuh tembok jalan.

Mungkin panik dengan apa yang berlaku, kereta itu sekali lagi berundur ke belakang dan ke depan semula merempuh tembok yang sama buat kali kedua. 


Tidak diketahui bagaimana keadaan mangsa, namun netizen berpendapat, punca kejadian disebabkan oleh kesilapan pemandu Alza di mana lorong kanan adalah jelas dan nyata hanya digunakan untuk membelok ke kanan sahaja. 

Berhati-hatilah ketika memandu dan patuhilah peraturan jalan raya bagi mengelakkan kejadian yang tidak diingini berlaku.

Sumber: Info Roadblock JPJ/POLIS