Wanita sarat mengandung, maut digilis treler


Seorang wanita yang sarat mengandung tujuh bulan maut digilis sebuah treler dalam kemalangan tiga kenderaan di persimpangan Jalan Permatang Buloh, Kepala Batas, malam tadi.

Ketua Polis Daerah Seberang Perai Utara Asisten Komisioner Noorzainy Mohd Noor berkata, Nur Amirah Izzati Rohaizat, 19, meninggal dunia di tempat kejadian akibat kecederaan parah di kepala.

"Dalam kejadian 10.45 malam ketika hujan lebat, mangsa yang menunggang motosikal dari arah pekan Darat dipercayai melanggar lampu isyarat sebelum merempuh sebuah kenderaan pacuan empat roda.

"Mangsa yang terjatuh kemudian digilis oleh treler dari arah Kepala Batas menghala Permatang Buloh," katanya dalam kenyataan hari ini.

Mayat dihantar ke Hospital Kepala Batas untuk dibedah siasat sementara kes disiasat menurut Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987.

Sumber: Bernama