3 kawasan di Melaka bakal alami gangguan bekalan air pada 5 & 6 Ogos


Syarikat Air Melaka Berhad (SAMB) mengeluarkan kenyataan bahawa beberapa kawasan di sekitar Melaka akan mengalami gangguan bekalan air selama 24 jam pada 5 dan 6 Ogos ini. 

Gangguan yang membabitkan 40,000 akaun pengguna itu adalah disebabkan kerja bagi membaiki injap bersaiz 700mm di Loji Air Daf 1 yang mengakibatkan pengepaman air terawat ke Kolam Senandong B3, Kolam Berangan dan Kolam Senandong A terpaksa dihentikan buat sementara waktu.

Tujuan utama kerja-kerja itu dilakukan bagi membolehkan loji tersebut mengeluarkan output maksimum air terawat untuk dibekalkan kepada semua tangki utama air bersih di kawasan Alor Gajah, Melaka Tengah dan Jasin.

SAMB menjangkakan, kerja-kerja pembaikan itu akan menyebabkan gangguan bekalan air selama 24 jam bermula dari jam 9 malam (5 Ogos) sehingga jam 9 malam keesokkan harinya. 

Sebaik sahaja kerja-kerja tersebut selesai, SAMB yakin dan berharap dapat membekalkan air bersih dengan lebih baik kepada semua pengguna.

Ekoran itu, SAMB menasihatkan para pengguna yang bakal terjejas menyimpan bekalan air yang mencukupi dan sebarang maklumat lanjut boleh hubungi Pusat Khidmat Pelanggan di talian 15800 yang beroperasi selama 24 jam. 

Pihak SAMB juga memohon maaf kepada semua pengguna yang bakal terjejas dengan gangguan sementara itu. 

Sumber: Harian Metro