Baru 2 minggu keluar penjara, bapa hempas anak hanya kerana minta air


Seorang bapa tergamak menghempas anak perempuannya berusia tujuh tahun yang meminta air ketika dia sedang menikmati makan malam.

Kejadian itu berlaku pada jam 8.20 malam di Kampung Kroh Hilir, Padang Rengas Ahad lalu, suspek, 37, gagal mengawal dirinya bertindak menghempas mangsa ke lantai.

Pemangku Ketua Polis Daerah Kuala Kangsar, Deputi Superintendan Zahiri Hassan berkata, mangsa mengalami luka di bahagian dahi kiri dan bengkak di kepala akibat terkena bucu meja makan. 

Isteri suspek, 40, ketika itu sedang menguruskan jadual persekolahan anak-anaknya, terdengar suspek memarahi mangsa sebelum disusuli dengan jeritan dan tangisan. 

Sejurus kejadian itu, suspek terus melarikan diri. Mangsa kemudian dibawa ibunya ke klinik berhampiran tetapi dinasihatkan untuk mendapatkan rawatan lanjut di Hospital Kuala Kangsar. 

Polis berjaya menahan suspek di rumah yang sma pada jam 12 tengah hari kelmarin. 

Siasatan mendapati, suspek merupakan penganggur dan mempunyai lima rekod jenayah yang membabitkan kes dadah dan jenayah, baru sahaja dibebaskan dari penjara dua minggu lalu. 

"Suspek mendakwa, mangsa sudah mengetuk kepalanya sewaktu dia sedang menikmati makan malam, lalu membuatkannya marah. Suspek kemudian mengangkat dan menghempas mangsa ke lantai sebanyak sekali," katanya.

Kes disiasat mengikut Seksyen 31(1)(a) Akta Kanak-Kanak 2001 kerana penganiayaan, pengabaian, pembuangan atau pendedahan Kanak-Kanak. 

Sumber: Harian Metro