Berang dikejutkan dari tidur, penagih dadah belasah mak sampai mati


Berang dikejutkan dari tidur, seorang lelaki bagaikan hilang akal memukul ibu kandungnya sehingga tidak bernyawa. 

Ketua Polis Daerah Sentul Asisten Komisioner S. Shanmugamoorthy Chinniah berkata, kejadian itu berlaku pada jam 7.30 malam Jumaat lalu di Jinjang Utara. 

Mangsa yang berusia 70-an itu baru saja pulang ke rumah. Mangsa masuk ke bilik suspek untuk mengejutkan anaknya yang sedang tidur. 

Namun, suspek berang waktu tidurnya diganggu lalu memukul ibunya dengan objek keras sehingga tidak sedarkan diri. 

Anak saudara mangsa yang mengetahui kejadian itu terus menghubungi polis yang tiba di lokasi tidak beberapa lama kemudian. 

Malangnya, mangsa sudah tidak lagi bernyawa. Tetapi pemeriksaan mendapati kesan kecederaan di bahagian tangan, mata dan kesan darah di kedua-dua belah kaki serta luka di bahagian kepala. 

Suspek berjaya diberkas dan keputusan ujian saringan air kencing mengesahkan suspek positif ganja dan heroin.

Suspek direman sehingga 15 Ogos untuk siasatan lanjut mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan.