Cabul wanita, punca pengawal keselamatan Nepal dipukul oleh ketuanya

Jumaat (31 Julai 2020) lalu, Kedutaan Nepal di Kuala Lumpur membuat laporan polis berhubung video viral yang menunjukkan seorang pengawal keselamatan (Nepal) dipukul. 

Kedutaan Nepal meminta orang ramai yang mempunyai maklumat mengenai kejadian itu menghubungi mereka, selain satu laporan polis telah dibuat untuk tindakan lanjut pihak berkuasa. 

Berdasarkan video viral itu, kejadian itu dipercayai berlaku pada 7 Julai di mana pengawal keselamatan terbabit ditampar dan dipukul dengan kayu oleh ketuanya. 

"You main ah?! You mari sini cari kerja ke cari masalah?! Saya baik-baik sama you," kata lelaki berbaju biru itu. 

Ketua Polis Daerah Wangsa Maju, Superintendan Rajab Ahad Ismail berkata, siasatan awal mendapati kejadian itu berlaku di tempat letak kenderaan di sebuah kondominium di Jalan Madrasah, Wangsa Maju. 

Isnin (5 Ogos 2020), suspek berusia 34 tahun itu berjaya ditahan dan disiasat mengikut Seksyen 324 Kanun Keseksaan kerana mendatangkan kecederaan yang membawa hukuman penjara hingga tiga tahun atau dengan denda atau dengan sebat atau keduanya jika sabit kesalahan. 

Mangsa yang berusia 26 tahun itu juga telah memberi keterangan kepada pihak polis semalam.

Dalam laporan terkini, mangsa dibelasah oleh 'ketuanya' dalam klip video viral adalah bertujuan mahu memberi 'pengajaran' setelah mangsa dituduh mencabul seorang wanita Indonesia pada bulan lalu. 

Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Kuala Lumpur, Nik Ros Azhan Abdul Hamid berkata, mangsa dikatakan mencabul wanita berusia 40 tahun dalam satu insiden yang berlaku dalam sebuah lif di sebuah pusat beli-belah.

"Suspek didakwa menampar punggung mangsa ketika dia sedang menunggu lif. Dia mengikutinya ke dalam lif, meramas kemaluannya dan meraba lehernya.

"Mangsa kemudian bertindak dengan menendangnya," katanya memetik laporan dari Malaysiakini. 

Mangsa yang trauma dengan kejadian itu tampil berdepan dengan suspek selepas tiga hari kemudian. Suspek meminta maaf di atas perbuatannya yang tidak senonoh itu dan wanita itu juga dikatakan telah memaafkannya. 

Bagaimanapun, kejadian itu diketahui oleh ketua keselamatan syarikat berkenaan yang kemudian menyerang suspek tanpa pengetahuan mangsa.