'Saya terdiam bila lihat pelitup muka murid ini yang kotor & siap berjahit...' - Guru kongsi kisah pelajarnya undang rasa simpati netizen


Semenjak wabak Koronavirus menyerang dunia, kita dinasihatkan untuk sentiasa menjaga kebersihan diri dan juga memakai pelitup muka di tempat awam serta di tempat yang sesak. Baru-baru ini juga, kerajaan mengumumkan mulai 1 Ogos, pelitup muka wajib dipakai dalam pengangkutan awam dan di tempat awam.

Tidak terkecuali, pelajar-pelajar di sekolah juga diwajibkan untuk memakai pelitup muka bagi mengelakkan jangkitan dari wabak ini. Bagi ibu bapa yang berkemampuan, pelitup muka dibeli dengan kuantiti yang banyak dan bermacam-macam corak bagi menarik perhatian anak-anak untuk memakainya.

Tetapi, kisah yang dikongsikan oleh guru ini meruntun hati netizen. Menerusi perkongsian di Twitter, Cikgu Fazri pada mulanya mengadakan perbincangan dengan murid beliau mengenai pemakaian pelitup muka di tempat tumpuan ramai. Namun dia terdiam seketika apabila melihat salah seorang muridnya memakai pelitup muka yang bukan sahaja kelihatan kotor, malah tali pelitup muka itu juga dijahit.

“Hari ini saya ambil sedikit masa berbincang dengan murid mengenai pemakaian pelitup muka ketika berada di dalam kawasan yang sesak. Terdiam seketika saya apabila melihat pelitup muka seorang murid kelihatan kotor dan siap berjahit lagi tali dia.”

Ketika ditanya pada murid-murid lain, ada juga yang baru bertukar pelitup muka setelah dua hingga tiga hari memakainya.

“Apabila tanya murid lain, ada juga yang tukar baharu selepas 2-3 hari pakai. Apa-apa pun, ini sekadar kisah murid saya tapi mngkin juga boleh terjadi dengan murid-murid cikgu yang lain. Semoga kita sentiasa cakna dan prihatin untuk mereka. #jomspotcheck #ayuhprihatin”

Lapor mStar Online, guru berusia 27 tahun itu merupakan guru Pendidikan Khas di Sekolah Kebangsaan Gas, Sandakan, Sabah.

“Dia sebenarnya murid pendidikan khas tahun enam, murid lelaki. Tapi saya memang dah standby dalam kereta dan dalam kelas, jadi saya bagi (pelitup muka) baru untuknya.”

Setelah berkongsi kisah itu di Twitter, beberapa individu menghantar mesej untuk memberikan sumbangan.

“Oleh kerana ciapan ini mendapat perhatian ramai dan ramai sebenarnya yang bermurah hati dan kisah mengenai isu-isu pelitup muka ini. Saya mahu ambil kesempatan ini untuk mereka yang ada rezeki lebih untuk sumbangkan pelitup muka, handwash dan hand sanitizer kepada sekolah-sekolah berdekatan anda untuk membantu murid yang memerlukan.”