'Mak suruh bayarkan sekali makanan 2 cleaner tu, malam tu aku dapat job RM2,000'


Dalam satu hadis sahih, Abu Hurairah RA berkata: “Seorang lelaki datang kepada Nabi SAW dan berkata: ‘Wahai Rasulullah, sedekah apakah yang paling besar pahalanya.”

Baginda menjawab: “Kamu bersedekah ketika kamu dalam keadaan sihat dan kikir, takut menjadi fakir dan berangan-angan jadi orang kaya. Maka janganlah kamu menundanya hingga tiba nyawamu berada di halkum. Lalu kamu berkata, yang ini milik si polan dan yang itu milik si polan. Padahal harta itu sudah menjadi milik si polan (ahli warisnya).” (Hadis Riwayat Al-Bukhari)

Baru-baru ini di Twitter, seorang individu berkongsi pengalaman bersedekahnya yang mendapat pahala serta-merta hasil keikhlasannya itu. 

Meskipun nilai sedekahnya itu kecil bagi sesetengah orang kaya di luar sana, tetapi bagi orang yang kais pagi makan petang, kais malam tak dapat apa-apa, sudah tentu nilai sedekah itu besar dan boleh membuatkan mereka memanjat kesyukuran tak terkata. 

"Aku lupa nak share satu story. Dua bulan lepas aku ada bawa mak aku makan di food court area Cheras. Table sebelah ada dua orang makcik cleaner (mungkin), makan nasi lemak dengan teh. 

"Mak aku suruh bayarkan sekali diorang dengan mak aku punya. Total dalam RM20. Malam tu, aku dapat job RM2,000.

"Mak aku siap cakap, 'Mana tau diorang doakan adik murah rezeki'. Wew, padat juga ayat beliau. Tapi memang malam tu juga ada job masuk. Aku memang terus start percaya kalau kita bagi, Tuhan akan bagi lebih," tulis Muhammad Hurairah Abdul Latiff. 

Menurut Hurairah, dia memulakan perkhidmatan membuat video promosi sejak 2015 di mana kebanyakan pelanggannya adalah dari syarikat China. Namun, itulah kali pertama dia mendapat bayaran RM2,000 daripada syarikat tempatan. 

"Pertama kali dapat jumlah bayaran besar daripada syarikat tempatan. Selalunya ratus-ratus saja. Alhamdulillah, hari tu Tuhan kasi lebih. 


"Saya ada beritahu tentang tawaran kerja dengan bayaran RM2,000 tu. Mak cakap tengok tu, kalau sedekah, mesti Tuhan bagi lebih. 

"Apa yang saya boleh kongsikan, duit itu tak semuanya kita punya. Ada bahagian orang lain juga, tak kira siapa. 

"Selain sedekah dekat ibu, boleh sedekah dekat orang-orang yang dalam kesusahan. Tak lupa juga, beri makan dekat kucing jalanan," katanya. 

Kesimpulannya, tidak kisahlah berapa pun jumlah sedekah yang kita hulurkan. Asalkan ianya ikhlas dan kerana Allah SWT. In Shaa Allah akan dibalas berkali ganda. Rezeki tak pernah salah alamat, buat pemberi mahupun penerima. Amin.

Sumber: Twitter Hurairah, mStar Online