Suami bunuh isteri guna tudung kerana nekad failkan perceraian


Seorang lelaki tergamak membunuh isterinya yang memfailkan perceraian dengan menjerut lehernya menggunakan tudung sebelum mayatnya dicampak berhampiran tasik PKNS Pinggiran Cyberjaya, Dengkil, Khamis lalu. 

Selepas kejadian itu, suspek yang berusia 41 tahun turut berpura-pura mencari isterinya, 40, yang merupakan pensyarah UIAM bersama anak perempuan berusia 14 tahun. 

Suspek kemudian menghubungi talian Mers 999 mendakwa telah menemui mangsa dalam keadaan tidak sedarkan diri kira-kira jam 1.04 pagi. 

Ketua Polis Daerah Sepang, Asisten Komisioner Wan Kamarul Azran Wan Yusof berkata, suspek dipercayai melakukan jenayah tersebut di Taman Mas, Putra Perdana, Sepang. 

"Suspek kemudian membawa mayat mnagsa menggunakan kenderaannya menghala ke Tasik PKNS pada jam 4.30 petang Rabu lalu," katanya. 

Suspek kemudian mengalihkan mayat mangsa ke tempat pemandu sebelum mengambil dompet dan telefonnya serta meninggalkan mangsa dalam keadaan enjin masih hidup. 

Suspek keluar bersama anak perempuannya menaiki kenderaan e-hailing kononnya mahu mencari mangsa yang tidak pulang ke rumah sejak jam 4 petang Rabu. 

Pemeriksaan polis di lokasi mendapati, tiada sebarang kecederaan pada badan mangsa dan hanya telefon bimbit dan beg duit tiada bersama dengannya tetapi gelang emas masih berada di pergelangan tangan kiri mangsa. 

Mayat mangsa kemudian dihantar ke Hospital Serdang untuk dibedah siasat dan keputusan mendedahkan mangsa mati akibat jerutan di bahagian leher. 

"Siasatan yang dijalankan ke atas suami mangsa mendapati, hubungan kedua-duanya mempunyai masalah kerana lelaki itu melafazkan cerai pada 24 Jun lalu. 

"Tindakan suspek yang berpura-pura mencari mangsa hanyalah lakonan semata-mata, seolah-olah tidak mengetahui apa yang berlaku terhadap mangsa.

"Suspek menjerut leher mangsa kerana terlalu marah selepas bertengkar berkaitan perceraian yang mahu difailkan mangsa. 

"Suspek mengaku membunuh isterinya kerana marahkan mangsa yang tetap mahu bercerai dengannya," katanya. 

Anak mangsa yang hanya dikenali sebagai Hana juga meluahkan perasaan sedihnya di media sosial selepas mengetahui kejadian sebenar. 

"Hana harap mama tahu, yang mama sentiasa disayangi orang di keliling mama. Hana sentiasa sayang mama. Terima kasih mama. Mama ditimpa ujian demi ujian lalu tiba masanya untuk mama pergi.

"Hana rindu mama sagat-sangat. Semoga kita ditemukan semula arwah mama sayangku. Al-Fatihah," tulisnya.

Suspek direman sehingga 6 Ogos ini untuk siasatan lanjut mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan. 

Sumber: Harian Metro