Suspek mahu batalkan pesanan, lempar wang atas lantai, paksa rider FoodPanda kutip

Ketua Polis Daerah Seberang Perai Tengah, Asisten Komisioner Shafee Abd Samad mengesahkan menerima laporan dari penghantar makanan (Food Panda) yang diserang pelanggan di Alma, Bukit Mertajam, pagi semalam. 

Kronologi kejadian, mangsa, 34, bekerja sebagai penghantar makanan sejak sebulan lalu. Pada hari kejadian, mangsa menghantar pesanan pizza yang dipesan oleh suspek. Apabila tiba di kawasan perumahan itu, mangsa menghubungi suspek untuk pengesahan alamat kerana alamat yang diberikan dalam aplikasi WhatsApp sedikit mengelirukan.

Selepas berjaya menemui rumah berkenaan, suspek keluar lalu memarahi mangsa dan kemudian menghulurkan RM50 untuk membayar pesanan tersebut. Mangsa lambat memulangkan baki wang membuatkan suspek mengambil semula wang itu dan menyerahkan semula makanan yang dipesan kerana sudah tidak mahu membelinya. 

Mangsa memaklumkan dia akan membuat laporan pembatalan pesanan itu kepada pihak Food Panda, lalu suspek mengambil semula pesanannya dan melemparkan wang tersebut di atas lantai. 

Mangsa juga meletakkan wang baki di atas lantai sebelum beredar. Tidak puas hati dengan itu, suspek meminta mangsa mengambil wang itu tetapi permintaannya tidak dipenuhi oleh mangsa menyebabkan suspek bengang lalu memukul dan menendangnya. 

Suspek juga dikatakan mahu menjatuhkan motosikal mangsa tetapi sempat dihalang mangsa yang kemudian memukul suspek menggunakan helmet sebelum pemilik rumah datang meleraikan kedua-dua pihak. 

Siasatan polis mendapati, suspek menyewa di rumah itu sejak lima bulan lalu dan tidak mempunyai rekod jenayah lampau. 

Kes disiasat mengikut Seksyen 323 Kanun Keseksaan.

Sumber: Harian Metro

LAPORAN BERKAITAN