'Terima kasih cikgu' - Guru belikan handphone untuk pelajar miskin agar mereka dapat menyertai kelas online


Sebilangan besar daripada kita mungkin ada yang bekerja dari rumah pada masa ini, tetapi bukan semua orang mempunyai kemewahan dan sumber untuk melakukannya kerana mungkin mereka bergantung pada kemudahan yang telah disediakan oleh organisasi. 

Masalah ini juga dihadapi oleh golongan pelajar yang kurang bernasib baik.

Oleh kerana seseorang pelajar itu memerlukan komputer riba atau telefon bimbit bagi mengikuti kelas secara online, ada pelajar yang tidak dapat mengikuti sesi pembelajaran berkenaan. 

Ini berikutan mereka berasal dari keluarga susah dan tidak mampu membeli barangan elektronik mahal seperti itu. 

Bagi memastikan golongan pelajar ini tidak ketinggalan dalam pelajaran, beberapa guru dari Madurai di Tamil Nadu ini tampil mengeluarkan wang sendiri untuk membantu.

Menurut laporan media tempatan, guru-guru dari sekolah bantuan Kerajaan Thiyagaraja itu mengumpul wang dari gaji mereka sendiri dan membeli telefon bimbit untuk diberikan kepada pelajar yang tidak berkemampuan. 

Dengan usaha yang baik seperti itu, golongan pelajar susah tidak akan ketinggalan dalam mendapatkan pendidikan.

Usaha murni guru-guru berkenaan wajar dijadikan sebagai contoh dan tauladan yang baik kepada masyarakat, agar golongan yang tidak berkemampuan ini tidak dipinggirkan lebih-lebih lagi di waktu krisis pandemik Covid-19. 

Sumber: India Times