(Video) 'Dia tendang badan & tumbuk muka saya' - Rider FoodPanda diserang pelanggan biadab

Viral di media sosial video seorang penghantar makanan (Food Panda) diserang oleh pelanggannya tanpa diketahui punca sebenar kejadian. 

Berdasarkan laporan polis yang dibuat, kejadian itu berlaku di Bukit Mertajam, Pulau Pinang, pada jam 11.05 pagi, Khamis (6 Ogos 2020).

Mangsa, Muhammad Muzammil Abdullah, dalam laporan berkata, dia tiba di alamat rumah suspek untuk menghantar makanan yang dipesan. Namun, lelaki itu keluar dari rumah dalam keadaan marah dan terus memaki hamunnya dengan kata-kata kesat yang berunsurkan perkauman. 

"Dia telah menendang saya di bahagian badan dan menumbuk muka saya," katanya.

Bimbang dengan keselamatan diri, Muhammad Muzammil telah membuat laporan polis pada hari yang sama untuk tindakan selanjutnya. 

Video rakaman kamera litar tertutup (CCTV) juga telah diberikan kepada mangsa, ehsan dari pemilik rumah homestay berdekatan. 



Muhammad Muzammil juga berharap, kes itu tidak menjadi isu perkauman kerana video CCTV itu diberi oleh pemilik homestay yang juga berbangsa Cina. 

Difahamkan, suspek juga merupakan individu yang viral dalam video pertengkaran di sebuah pasar raya di Bukit Mertajam beberapa hari lalu, yang berang dengan dua wanita (adik-beradik) membeli banyak barangan sehingga menyebabkan dia terpaksa menunggu lama untuk membuat pembayaran di kaunter.