'Allah, cepatnya Allah balas, siap adik tu offer tolong angkat barang' - Netizen terharu baca kisah pasangan bantu penunggang motosikal

Sedekah merupakan amalan yang paling sukar dilakukan, terutamanya bagi orang yang tidak suka berkongsi harta dengan orang lain. Tetapi bagi mereka yang memahami konsep sedekah itu akan menyakini amalan terpuji itu bukan hanya mampu menyucikan diri dan harta, bahkan pahalanya sehingga berkekalan ke hari pembalasan. 

Menerusi amalan bersedekah, seseorang akan dimurahkan rezeki dalam pelbagai bentuk. Sesungguhnya mereka yang rajin bersedekah akan mendapat naungan daripada panas terik di padang Mahsyar dan mendapat pendinding daripada api neraka. 

Baru-baru ini seorang wanita berkongsi mengenai keikhlasan mereka membantu dan bersedekah kepada seorang lelaki muda yang ditimpa masalah (motosikal rosak), tidak menyangka kebaikkan mereka itu terus dibalas pada hari yang sama. 

INILAH budak lelaki yang motosikalnya rosak di tepi kubur. Suami balik ke rumah, ambil spanar untuk dipinjamkan kepada adik tu buka rantai motosikal dia yang dah jem. Tak sampai 10 minit, dah terbuka rantai tu. 

Suami tanya, boleh ke dia tolak motosikal ni ke bengkel di Siputeh. Boleh katanya, ikutkan jauhlah juga. Masa suami tanya tu, muka dia sedih. 

Kak Nija tanya berapa ringgit kalau nak tukar rantai baru. Dengan muka sedih dia beritahu RM35. 

Kak Nija kata, "Takpe, awak pergi bengkel tukar hat baru. Saya bagi duit". Dia tengok muka Kak Nija dengan pandangan sayu. 

Kak Nija buka dompet, ambil sekeping duit biru bagi kepada dia. "Banyak sangat ni kak," katanya sebak. 

Kak Nija berkata, "Tak banyak bakinya dik. Rantai motosikal baru RM35, baki RM15 je, ambillah buat makan".

"Allah," katanya. Banyak ni. Lambat dia menghulurkan tangan. Suami kata, "Ambillah, kami sedekah. Doakan kami sihat dan murah rezeki ye". 

Macam nak menangis muka dia. Katanya, sebelum 8 pagi motosikal rosak, tiada seorang pun berhenti bertanya. Maknanya sudah sejam lebih dia berada di situ mengodek rantai motosikal. 

Bila rantai motosikal jem, motor tak boleh bergerak seinci pun. Patutlah masa kami sampai nampak dia termenung. Bila dia dah buka rantai motosikal, bermakna motor itu dah boleh ditolak. Suami minta izin nak balik, nak kemas barang kata suami. 

Pantas dia bertanya, "Nak pindah ke bang?"

"Ye," jawab suami. 

"Dah ada lori?" tanya dia.

"Belum lagi, tengah mencari lori ni," kata suami. 

"Abang, kawan saya ada lori. Abang nak satu tan atau tiga tan?" soalnya. 

Suami beritahu dia nak lori tiga tan dan budak itu menghubungi rakannya yang kemudian memaklumkan lori tiga tan RM350. Tapi dia minta kurangkan RM300 dan kawan dia pun setuju. 

"Bang, nak budak tolong angkat barang ke?" tanya dia lagi. 

"A'ah, dapat seorang pun jadilah," jawab suami. 

"Takpe bang, saya tolong abang angkat barang," kata budak tu. 

Allah, cepatnya Allah balas. Dalam seminggu ni, memang suami survey cari lori. Tiba-tiba Allah bagi depan mata. Siap adik tu offer tolong angkat barang. 

Benarlah, semua yang berlaku Allah dah rancang. Kami pergi kubur agak lewat, rupanya Allah nak pertemukan kami dengan adik itu. 

Dulu, kami pergi kubur lewat, Allah jumpakan kami dengan orang baiki kubur mak. Padahal dah berbulan Kak Nija mencari orang baiki kubur. Aturan Allah itu terbaik. Sentiasa bersangka baik kat Allah. 

Suami tak payah susah-susah nak mencari lori. Bab lori dah selesai. Terima kasih Allah. 

Sumber: Nija Mok